News

MIC Wants Barisan Nasional Supreme Council To Take Action Against Zahid Hamidi For Supporting Anwar To Be PM

MIC menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak segera tampil menjernihkan kembali keadaan susulan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ketua Penerangan MIC, R Thinalan berkata, pelbagai dakwaan oleh Tajuddin itu menimbulkan pelbagai persoalan dan mencetuskan rasa ingin tahu oleh segelintir pimpinan dan akar umbi Barisal Nasional (BN).

Lebih-lebih lagi, Tajuddin mendakwa pendedahan itu dilakukannya sebagai saksi hidup berikutan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendedahkannya kepada akar umbi.

“Ini sungguh mengejutkan dalam kalangan akar umbi dan penyokong yang pada masa sama menuntut supaya penjelasan dapat dilakukan secepat mungkin daripada kepimpinan UMNO dan BN khasnya Ahmad Zahid dan Najib Razak.

“Adakah benar ada usaha mengumpul surat akuan (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri (PM), apakah rasional dan keperluan mendukung pemimpin parti lawan tersebut? Adakah terdapat sebarang kepentingan politik tersirat dan tersurat demi agenda peribadi?

“Jika terbukti benar, maka Majlis Tertinggi BN harus mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan kadar segera,” katanya.

Soal Thinalan, seandainya dakwaan oleh Tajuddin itu fitnah dan palsu, mengapakah pemimpin-pemimpin utama ini mendiamkan diri seribu bahasa tanpa penafian.

“Jika Tajuddin sekadar melakukan fitnah sepatutnya tindakan ke atasnya disegerakan. Jangan melengah-lengahkan tindakan undang-undang ke atas Tajuddin di atas fitnah ini.

“Pendedahan Tajuddin sudah mencetuskan pelbagai spekulasi di peringkat akar umbi, yang mana penyokong tegar sendiri mula mempersoalkan integriti dan keikhlasan kepimpinan UMNO dan BN kerana Ahmad Zahid sentiasa melaungkan “No Anwar! No DAP!”.

“Kecelaruan pendirian dan hala tuju kepimpinan UMNO dan BN sebegini bagai menafikan aspirasi dan keyakinan anak-anak muda terhadap konsep dan muafakat BN, dan seterusnya menggugat semangat serta persiapan jentera kita di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” tegasnya.

Katanya lagi, adalah lebih balik jika Ahmad Zahid dan Najib segera tampil memberikan penjelasan mahupun penafian agar krisis ini tidak menjadi lebih dalam, lagi-lagi ketika musim pilihan raya sudah semakin hampir.

Most Popular

To Top