News

Kedaulatan Laut China Selatan: Wisma Putra Mesti Mempunyai Kepakaran Untuk Mengekang China

Kedaulatan Laut China Selatan: Wisma Putra Mesti Mempunyai Kepakaran Untuk Mengekang China

Kehadiran Menteri Luar China, Wang Yi dalam lawatan kerjanya ke negara-negara ASEAN turut membawa berita baharu berkenaan penggubalan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan. China nampaknya kini lebih bersedia untuk menyambut hubungan multilateralisme dan menghormati kehendak ASEAN.

Apakah COC ini bakal membawa satu bentuk rangka kerja yang boleh membawa semula ketenteraman kepada Laut China Selatan yang semakin bergelora? Hanya masa akan menentukannya. China semacam mahu menangkis pengaruh Amerika Syarikat. ASEAN pula mempunyai kepentingan untuk mempertahankan kedaulatan dan potensi ekonomi masing-masing di kawasan perairan tersebut.

Dalam usaha pembentukan COC ini, Malaysia sewajarnya memainkan peranan sebagai peneraju dan bersedia untuk tidak dibuli oleh kuasa besar dunia. Kita tidak mahu COC ini kelak menjadikan Malaysia dan ASEAN sebagai bidak China dan terlibat dengan perang proksi.

Bagi menangkis kemungkinan sedemikian adalah cermat untuk Malaysia mendapatkan khidmat pakar perundangan maritim sebagai jurucakap dan jurufikir utama dalam tindakan Malaysia. Wisma Putra harus mewujudkan satu “team task force” yang mengumpulkan pakar dari pelbagai bidang seperti perundangan, sejarah, geopolitik dan strategik yang akan menentukan polisi negara dalam mempertahankan hak kedaulatan maritim Malaysia. Jika sudah ada, perlu diperkemaskan sepanjang masa.

Kita harus sedar bahawa undang-undang maritim antarabangsa bersifat dinamik. Peruntukan COC akan menjadi sukar untuk terlaksana sekiranya ia turut mengganggu kedaulatan negara ASEAN. Malaysia melalui lantikan pakar perundangan maritim mesti berkemampuan untuk menggubal undang-undang maritimi yang bersifat rentas sempadan untuk memastikan masalah seperti aktiviti lanun, rompakan, penyeludupan dan penangkapan ikan haram termasuklah aktiviti kententeraan yang tidak sah dapat ditangani.

Malaysia tidak boleh berpeluk tubuh dalam hal COC ini. Unjuran ekonomi menyaksikan nilai ekonomi Laut China Selatan adalah bernilai USD5.3 trillion. Sekiranya China dibenarkan memasukkan jarum pengaruh mereka di dalam COC ini sudah tentu kepentingan ekonomi di sini akan terjejas. Kelebihan Laut China Selatan adalah keterbukaannya sebagai laluan ekonomi, sekiranya ia dimonopoli, kita yang akan menanggung rugi.

Kali ini Malaysia lebih tegas. Kita tidak mahu jatuh ke dalam lubang yang sama lagi. Malaysia mesti bersiaga dengan pakar maritim yang cekap dan jangan biarkan China menekan kedaulatan negara dalam pembentukan COC kelak. Kita tidak boleh menyerah. Malaysia mesti menang dalam mempertahankan diri di dalam perbicangan COC nanti. Pakar yang bagus akan membolehkan kita berhati-hati dan tidak mudah dimanipulasi China.

Datuk Dr Ibrahim Yahaya
Penganalisis Hubungan Diplomatik
Write to Shen Yee Aun

Most Popular

To Top