News

KETEPIKAN KESETERUAN POLITIK, DEMI PEMBANGUNANAN INFRASTRUKTUR DIGITAL DALAM NEGARA

KETEPIKAN KESETERUAN POLITIK, DEMI PEMBANGUNANAN INFRASTRUKTUR DIGITAL DALAM NEGARA TERUTAMANYA DI PEDALAMAN SABAH DAN SARAWAK

Jurang digital yang berlaku pada hari ini adalah isu antarabangsa yang merentas negara. Negara dunia yang sedar akan kepentingan merapatkan jurang digital di antara lokaliti negeri dan daerah pasti akan mendapat manfaat hasil daripada pembangunan ini. Disinilah titik beza di antara sebuah negara membangun dan negara yang berusaha mencapai status negara maju.

Di Malaysia, seperti yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), bahawa kerajaan akan memberikan keutamaan dalam usaha meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital dalam negara. Hal ini kerana kerajaan sedar teknologi digital telah banyak mencorak kehidupan rakyat pada masa kini.

Bermula dengan proses pengajaran dan pembelajaran, kepada aktiviti perniagaan dalam talian sehingga ke pembangunan modal insan dan tarikan pelabur asing, semuanya bergantung harap kepada pembangunan infrastruktur digital di sesebuah kawasan.

Semua kawasan seharusnya memperoleh manfaat yang sama tanpa dianaktirikan atas faktor apa sekalipun. Kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak juga harus menerima pembangunan infrastruktur digital ini tanpa menjadikan faktor kepadatan penduduk sebagai alasan untuk ditangguhkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi (JKSE) juga telah bersepakat bagi memastikan isu pembangunan di Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman dijadikan keutamaan bagi merapatkan jurang sosio-ekonomi antara negeri dan daerah.

Cukuplah sudah bertahun lamanya sejak pengenalan teknologi 3G hingga ke teknologi 4G, kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak sering diketepikan oleh syarikat pembekal telekomunikasi dalam negara. Adakah rakyat di sana tidak layak mendapat hak mengakses teknologi digital? Adakah kita mahu terus biarkan rakyat di sana ketinggalan daripada arus pemodenan semasa?

Pembangunan infrastruktur digital melibatkan teknologi 5G ini seharusnya bersifat menyeluruh merentas sempadan negeri dan daerah. Kerana pembangunan teknologi 5G inilah yang akan menjadi titik mula pembangunan dan kemajuan yang seterusnya di sesebuah kawasan pedalaman.

Jika kita berfikir secara rasional, pembangunan infrastruktur digital melibatkan pelaksanaan teknologi 5G ini pasti akan membawa keuntungan berlipatganda. Manfaat kepada rakyat sudah pasti akan membawa pulangan baik kepada kerajaan. Pulangan sosio-ekonomi inilah yang seharusnya dijadikan agenda bersama bermula daripada pemimpin disambut rakyat awam.

Kehidupan akan menjadi lebih cepat dan mudah dan dalam masa sama menghantar mesej baik kepada pelabur asing bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang strategik dalam merencana kerjasama ekonomi.

Namun sayangnya, niat telus kerajaan ini seringkali disalah erti oleh pihak lain. Usaha pembangunan nasional ini pun dijadikan ruang melempias ghairah politik. Pemain politik mula mencatur strategi melengahkan pembangunan infrastruktur digital ini dan mempertikaikan agenda Digital Nasional Berhad (DNB) tanpa menghiraukan kepentingan bersama yang bakal dikecapi hasil daripada pembangunan ini.

Hakikatnya, isu monopoli DNB dalam pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini tidak seharusnya berbangkit lagi kerana kerajaan telah membuka peluang kepada semua syarikat telekomunikasi untuk memiliki kepentingan ekuiti di dalamnya, seperti mana dijelaskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini.

Lantas apa lagi alasan yang boleh dipolemikkan lagi bagi meneruskan usaha pembangunan digital ini? Janganlah kalau hati pun sudah tak suka, madu diminum terasa cuka. Janganlah kerana keseteruan politik, habis semua usaha pembangunan dijadikan modal bertingkah.

Keseteruan politik hanya akan menjadikan pembangunan infrastrukutur digital ini tergendala. Siapa pun pemain politik di sebalik syarikat pengendali mudah alih yang cuba menjadikan usaha pembangunan infrastruktur digital ini tergendala seharusnya menilai kembali kepentingan peribadi dan nasional.

Percayalah, semakin lama pelaksanaan teknologi 5G ini dilengahkan, semakin melebar jurang digital antara kawasan di Malaysia dan semakin ketinggalan negara kita berbanding negara jiran. Revolusi dunia yang bergerak semakin pantas ini tidak sepatutnya dilengahkan hanya kerana permainan politik dangkal.
Pemain politik seharusnya mengamalkan politik matang. Politik yang memikirkan kebajikan sosio-ekonomi rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Politik yang membangunkan kerjasama bukan yang saling menjatuhkan semata-mata demi kepentingan peribadi.

Jika dahulu jalan, bekalan air dan elektrik yang menjadi keutamaan pembangunan negara. Kini infrastruktur digital berteraskan teknologi 5G pula harus menjadi keutamaan pembangunan negara. Akses internet kini sebahagian daripada hak asasi manusia yang perlu dipenuhi demi kehidupan yang lebih sejahtera.

Disebabkan itu, pembangunan infrastruktur digital dalam negara terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak perlu disegerakan. Kerajaan seharusnya perlu campur tangan dalam hal ini bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan menikmati pembangunan yang saksama.

Most Popular

To Top