News

KEGAGALAN 4G DI KAWASAN PEDALAMAN : SPEKTRUM 5G PERLUKAN KETERLIBATAN KERAJAAN

KEGAGALAN 4G DI KAWASAN PEDALAMAN, SPEKTRUM 5G PERLUKAN KETERLIBATAN KERAJAAN

Setakat pertengahan tahun 2022, sasaran pembinaan 60 menara 4G baharu di seluruh negara telah berjaya dicapai.

Meskipun pembinaan menara ini berjaya dibangunkan dengan kerjasama dan persetujuan keempat-empat syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile, namun perkara yang masih menjadi persoalan adalah mengenai status dan perkembangan pembangunan 4G di kawasan pedalaman.

Sebagai contoh, masih wujud masalah capaian 4G di kawasan pedalaman dan luar bandar antaranya seperti di Kg. Mengkapon Darat, Pitas di Sabah, Kg. Ulak, Limbang di Sarawak, Kg. Wawasan di Labuan, Kg. Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu di Kedah serta Kg. Batu Gajah dan Kg. FELCRA Bukit Tandak di Kelantan.

Kesemua kawasan ini telah diklasifikasikan sebagai kawasan yang mempunyai masalah rangkaian yang paling kritikal. Sewajarnya, dalam pergerakan negara ke arah evolusi perindustrian yang bersumberkan kecanggihan teknologi, perkara ini tidak boleh dipandang enteng dan dibiarkan begitu sahaja.

Antara punca kewujudan masalah rangkaian yang kebanyakannya wujud di kawasan luar bandar adalah disebabkan oleh penstrukturan gerak kerja syarikat telekomunikasi yang berpaksikan kepada orientasi keuntungan. Secara jelas pembangunan menara 4G ini berpusat di kawasan bandar kerana faktor kegiatan ekonomi dan taburan penduduk menjadi pendorong kepada keuntungan syarikat telekomunikasi. Faktor faktor ini kebiasannya boleh didapati di kawasan bandar.

Penstrukturan gerak kerja yang menfokuskan kepada kawasan bandar akan mewujudkan satu masalah yang akan memberikan impak jangka masa panjang kepada negara iaitu krisis jurang digital kepada masyarakat luar bandar.

Jurang digital bukan sahaja menghadkan kemampuan masyarakat luar bandar untuk mempunyai literasi digital, sebaliknya ianya akan menutup ruang masyarakat luar bandar untuk mempunyai peluang di dalam landskap ekonomi digital seperti yang dinikmati oleh masyarakat bandar.

Justeru itu, untuk mengelakkan kesalahan yang sama berulang, pembangunan 5G yang sedang giat dilakukan di dalam negara amat memerlukan keterlibatan kerajaan untuk menjadi ejen pembangunan saksama di antara bandar dan luar bandar. Perkara ini dapat di lihat melalui Digital Nasional Berhad (DNB) yang merupakan inisiatif kerajaan yang bertindak sebagai alat untuk mengakhiri masalah liputan rangkaian serta jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar secara keseluruhan.

Di samping dapat memastikan penstrukturan gerak kerja yang saksama di antara bandar dan luar bandar dalam pembangunan 5G, keterlibatan kerajaan juga turut dapat bersama sama membawa masyarakat luar bandar bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan terutamanya dalam memberikan galakan kepada masyarakat yang ingin terlibat secara langsung di dalam ekonomi digital.

Perlaksanaan DNB merupakan satu penanda aras yang jelas bahawa kerajaan sangat komited dalam membantu pembangunan infrastruktur jalur lebar secara saksama sekaligus dapat merapatkan jurang digital di dalam negara.

Most Popular

To Top