News

PROJEK 5G : PROJEK ISTIMEWA RAKYAT

PROJEK 5G : PROJEK ISTIMEWA RAKYAT

Projek Infrastruktur Penggunaan Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima merupakan projek istimewa untuk rakyat Malaysia. Projek yang dipacu melalui Digital Nasional Berhad (DNB) ini penting bagi memastikan kedudukan negara mampu bersaing secara sihat dengan negara maju yang lain dalam beradaptasi dengan penggunaan teknologi terkini.

Perkhidmatan telekomunikasi 5G merupakan salah satu keperluan demi pembangunan negara pada masa kini dan masa hadapan. Bertitik tolak daripada perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik inilah yang akan membawa kepada kemajuan teknologi dalam pengurusan pentadbiran dan bidang sosio-ekonomi kerajaan dan rakyat.

Seperti mana yang kita ketahui, begitu banyak projek mega dan projek pembangunan penting kerajaan telah dibatalkan semasa zaman pemerintahan 22 bulan Tun Mahathir mentadbir negara. Namun tidak pada projek pembangunan melibatkan infrastruktur Penggunaan Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima atau teknologi. 5G.

Pada asalnya, idea pembangunan teknologi ini dimulakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Gobind Singh Deo pada tahun 2019. Di mana beliau percaya pembangunan inovasi tersebut akan memberi impak besar kepada hampir setiap sektor termasuk pendidikan, pengangkutan, pertanian, penjagaan kesihatan, pembuatan, hiburan dan keselamatan awam.

Berubahnya kerajaan pada tahun 2020, tampuk kepimpinan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diterajui oleh Saifuddin Abdullah dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz turut meneruskan kesinambungan projek tersebut. Di mana beliau telah membenarkan lebih banyak projek demonstrasi dijalankan bagi membolehkan ujian teknologi dan proses merekayasa teknologi 5G dijalankan bagi mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G.

Kemudian bertukarnya kerajaan pada Ogos 2021, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Tan Sri Annuar Musa masih lagi mengekalkan pembangunan teknologi 5G sebagai fokus dalam kementerian K-KOMM. Beliau juga berjanji akan memastikan pelaksanaan 5G di Malaysia berjalan mengikut rancangan dengan mengikat kerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi menjayakan inisiatif DNB

Persoalannya, mengapa projek pembangunan DNB ini masih terus dipertahankan merentas tiga menteri berbeza dan melalui tiga pemerintahan berbeza? Apakah signifikannya projek ini sehingga masih diteruskan sehingga kini? Apakah tuntutan mendesak yang membuatkan projek ini tidak diabaikan oleh mana-mana Government of the day?

Hal ini kerana, projek pembangunan infrastruktur teknologi 5G ini adalah projek rakyat. Jaringan komunikasi yang stabil dan terkini adalah amat penting bagi rakyat sesebuah negara. Tanpa jaringan komunikasi yang baik, rakyat akan terkesan dan ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan, malah turut menjejaskan pembangunan negara dalam mencapai status negara maju.

Kegagalan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi 5G ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang tidak bersedia mendepani cabaran ekonomi dan teknologi masa hadapan. Keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan 5G sangat penting bagi menyokong pelbagai segmen ekonomi, terutamanya dalam bidang automasi, yang merupakan salah satu teknologi masa hadapan.

Jika kita berfikir secara rasional, pembangunan infrastruktur digital melibatkan pelaksanaan teknologi 5G ini pasti akan membawa keuntungan berlipatganda. Manfaat kepada rakyat sudah pasti akan membawa pulangan baik kepada kerajaan. Pulangan sosio-ekonomi inilah yang seharusnya dijadikan agenda bersama bermula daripada pemimpin disambut rakyat awam.

Kini, segala urusan rakyat memerlukan perkhidmatan teknologi maklumat yang lebih cekap. Daripada urusan perkongsian maklumat, bidang pendidikan sehingga ke urusan jual beli dalam talian segalanya memerlukan perkhidmatan telekomunikasi yang stabil dan lancar.

Kehidupan akan menjadi lebih cepat dan mudah dan dalam masa sama menghantar mesej baik kepada pelabur asing bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang strategik dalam merencana kerjasama ekonomi.

Pengalaman pandemik COVID-19 telah menunjukkan kepada kita betapa mundurnya kemudahan internet dan capaian di kawasan luar bandar dan capaian internet di kawasan bandar juga tidak stabil. Meskipun telah mula berkembang di Malaysia sejak tahun 1983, kini negara kita sedang memasuki era baharu iaitu 5G tetapi dalam keadaan internet di negara kita masih menyedihkan. Disebabkan itulah capaian dan kelajuan internet di Malaysia sememangnya perlu diatasi dengan kadar segera oleh kerajaan.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) edisi Ogos 2020, bagi jalur lebar mudah alih, Malaysia berada di kedudukan keenam dalam negara ASEAN dengan kelajuan 24.44 Mbps dan tangga ke-85 pada peringkat global. Untuk purata kelajuan muat turun bagi internet mudah alih, Malaysia berada di belakang Singapura, Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar. Masalah capaian internet dan telekomunikasi bukan sahaja yang berlaku di Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya ia turut berlaku di banyak kawasan di Semenanjung.

Syarikat telekomunikasi ini seharusnya mengetepikan campur tangan politik yang menjadi dalang disebalik keengganan menjalin kerjasama pembangunan teknologi 5G ini. Cukuplah kadar caj bayaran kemudahan internet di negara kita antara yang termahal di rantau ini, janganlah dikorbankan pula masa depan negara dan rakyat bagi menikmati pembangunan infrastruktur teknologi 5G.
Write to Shen Yee Aun

Most Popular

To Top