News

Lim Guan Eng : Pakatan Harapan Janji Teruskan Pemansuhan Tol Lebuhraya Utara-Selatan

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, semasa menerajui kerajaan selama 22 bulan selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18 peratus.

Menurut portal berita FMT yang memetik China Press, Guan Eng menegaskan PH ‘boleh memansuhkan tol’ di lebuh raya jika diberi tempoh mentadbir selama lima tahun lagi.

Guan Eng berjanji perkara yang sama pada 2017, sebelum kemenangan PH pada 9 Mei 2018 menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, kerajaan PH digulingkan selepas hanya 22 bulan memerintah.

Janji keenam dalam manifesto PH pada PRU14 lalu antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Kerajaan pimpinan PH sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Pada majlis itu, Guan Eng turut menyebut pelbagai masalah yang melanda negara ketika ini, seperti kegawatan ekonomi dan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Malaysia memerlukan kerajaan yang mampu menguruskan isu-isu ini, katanya.

Beliau menggesa pengundi menyokong PH supaya ia boleh membentuk kerajaan dan pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.

Most Popular

To Top