News

Rafizi Ramli : Perdana Menteri Tidak Boleh Jadi Menteri Kewangan

Semalam saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri dari melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan. Kerosakan ekonomi di zaman Najib Razak semakin menjadi-jadi kerana beliau turut menjadi Menteri Kewangan.

Source : Facebook Rafizi Ramli

Saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk memisahkan fungsi Perdana Menteri dari Menteri Kewangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat iaitu sebelum atau pada 23 September 2015. Rang Undang-undang Persendirian itu difailkan melalui emel kepada Setiausaha Dewan Rakyat seperti mana soalan-soalan Parlimen dan urusan lain difailkan.

Saya telah mendapat jawapan rasmi dari Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam (3 November 2015) yang menyatakan bahawa Dewan Rakyat menolak Rang Undang-undang Persendirian itu yang tidak akan disenaraikan di dalam Aturan Dewan atas alasan berikut:

Tidak menepati Peraturan Mesyuarat 27 iaitu perlu dihantar secara bertulis – saya menghormati kuasa Yang Dipertua yang berhak menafsirkan Peraturan Mesyuarat. Walau bagaimana pun, selama ini sebarang pemberitahu termasuklah pemberitahu soalan-soalan diuruskan melalui emel dan telah diterima dengan baik oleh Setiausaha Dewan Rakyat

Bertentangan dengan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 – alasan ini bermakna Dewan Rakyat tidak akan membenarkan apa-apa Rang Undang-undang Persendirian yang cuba memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selagi Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 tidak dipinda. Ini juga bermakna selagi Barisan Nasional berkuasa, sebarang usaha untuk menggubal undang-undang untuk membina tata kelola yang lebih baik dengan memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak akan dibenarkan dibawa ke Dewan Rakyat

Saya berpendapat pendirian ini akan mengurangkan kebebasan Parlimen dan merendahkan kedudukan Parlimen yang sepatutnya setaraf dengan cabang eksekutif kerajaan dari segi bidang kuasanya.

Oleh yang demikian, saya akan memfailkan kembali Rang Undang-undang Persendirian ini secara surat bertulis mengikut Peraturan Mesyuarat 27 dan berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkannya untuk dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam sidang depan.

Saya juga telah memfailkan usul untuk menghadkan harga yang akan dibayar oleh TNB terhadap aset-aset IPP milik 1MDB pada 2 November 2015 dan telah menerima pengesahan dari Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat. Saya percaya Dewan Rakyat mesti memberikan isyarat yang jelas bahawa ia akan campur tangan di dalam sebarang urusniaga besar yang melibatkan kepentingan dan dana awam seperti ini.

Oleh yang demikian, saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkan agar usul ini dibenarkan untuk dibahaskan apabila ia dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN

Source : Rafizi Ramli

Most Popular

To Top