News

Ketua Penerangan UMNO : Muhyiddin & PN Perlu Bersedia Untuk Didakwa Dalam Skandal RM 600 Billion Tidak Lama Lagi

Perikatan Nasional (PN) perlu bersedia untuk didakwa di mahkamah sekiranya mahu membuktikan bahawa mereka bersih daripada sebarang amalan korupsi.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata, mungkin akan wujud kluster mahkamah baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disebabkan tiada lagi kekangan untuk pihak berkuasa melakukan penyiasatan.

“PN semasa PRU ke-15 jalankan kempen mengatakan bahawa mereka ini ‘bersih’. Apa yang dikatakan bersih itu tidak semestinya bersih sebab tak kena dakwa sebelum ini.

“Dahulu mungkin ada beberapa kekangan untuk pihak berkuasa untuk mendakwa mereka. Tetapi sekarang apabila kerajaan telah bertukar maka tidak akan wujud lagi segala kekangan ini.

“Saya dah cakap sebelum ini, kita tidak akan halang sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis nak siasat ahli-ahli politik yang sebelum ini mereka nak siasat. Macam saya cakap sebelum ini, selepas PRU ke-15 ini mungkin ada kluster mahkamah yang baharu,” katanya menerusi video siaran langsung di Facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut meminta Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjawab beberapa persoalan berkaitan pengurusan kewangan negara semasa zaman pemerintahannya.

“Daripada dahulu, kita minta Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjawab dakwaan mengenai kerajaan memberikan kontrak secara direct nego semasa beliau menjadi Perdana Menteri kepada syarikat milik menantu dia.

“Kalau tidak silap saya perkara tersebut berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun darurat. Dia perlu jawab dakwaan tersebut dan rakyat juga nak tahu apa yang jadi dengan RM600 bilion. Jadi selepas ini mungkin akan ada kluster mahkamah baharu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham turut berkata, sekiranya PN mahu membuktikan mereka bersih daripada segala rasuah dan salah guna kuasa, jangan halang pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

“Mereka (PN) sering bercerita mengenai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi padahal Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan bahawa beliau tidak bersalah dalam kes UKSB. Tapi apabila ada ahli politik yang lompat ke PN, tiba-tiba mereka jadi suci murni dan tidak didakwa.

“Kalau betul mereka nak buktikan PN, Muhyiddin dan Mas Ermieyati tu betul-betul bersih, bersedia dan jangan halang pihak berkuasa untuk siasat mereka. Bersedia untuk pergi ke mahkamah baru kita tengok bahawa mereka bersih ataupun tidak.

“Kes Datuk Seri Zahid sebelum ini telah dibuktikan tidak bersalah oleh mahkamah, satu kes lagi sedang berjalan. Kalau mereka nak buktikan mereka ini bersih, bersedialah Untuk didakwa di mahkamah,” katanya lagi.

Source : UMNO Online

Most Popular

To Top