News

RANGKAIAN 5G MALAYSIA BAKAL MENJANGKAU 40% LIPUTAN MENJELANG AKHIR 2022 DAN BERADA DI LANDASAN UNTUK MENCAPAI 80% PADA 2024

Rangkaian 5G Malaysia antara pelaksanaan yang terpantas di dunia…

Rangkaian 5G Malaysia antara pelaksanaan yang terpantas di dunia, bakal mencapai lebih 14 juta penduduk pada penghujung 2022 setelah lima daripada enam MNO menyediakan perkhidmatan 5G secara runcit kepada pengguna

KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER 2022 – Digital Nasional Berhad (DNB), dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa pelaksanaan rangkaian 5G kini lebih awal dari yang dijadualkan dan bakal menjangkau 40% liputan di kawasan berpenduduk (COPA) di seluruh negara menjelang Disember 2022 serta berada di landasan untuk mencapai komitmen 80% COPA pada 2024 atau lebih cepat. Rangkaian tersebut bakal mencapai 14 juta penduduk di lokasi rangkaian yang telah ditetapkan dan melebihi 30 juta penduduk dalam tempoh dua tahun akan datang.

40% COPA akan dicapai dengan sekitar 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang sebelum ini. Pengurangan kiraan tapak tersebut adalah berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini, dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak. Sebahagian besar masalah ini telahpun selesai dan rangkaian DNB akan terus dilaksanakan secara progresif pada 2023 sebagaimana yang dirancang. Bagi mengatasi kelewatan tersebut dan mencapai 40% COPA, DNB telah mengubah hala pelaksanaan ke negeri-negeri yang sebelum ini dijadualkan pelaksanaannya pada tahun 2023 dan seterusnya.

Buat masa ini, rangkaian 5G Malaysia telah meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan serta sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

David Hägerbro, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka & Bangladesh berkata: “Pelaksanaan rangkaian 5G untuk Digital Nasional Berhad (DNB) adalah antara yang terpantas di dunia kerana pelaksanaannya baru saja dimulakan pada Oktober 2021.”

Carta: Salah satu pelaksanaan 5G terpantas di dunia

Sumber: GSMA Intelligence

Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed berkata, “Atas dasar permintaan untuk perkhidmatan 5G serta sokongan yang diterima untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian, kami yakin 80% COPA bakal dicapai dalam tempoh 18 bulan akan datang.”

Carta: Pelaksanaan rangkaian 5G bakal menjangkau 40% menjelang akhir Dis 2022

Setakat ini, lima daripada enam Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) di Malaysia, yang secara kolektif mempunyai lebih daripada 20 juta pelanggan – Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES ) – telah mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.

Walau bagaimanapun, pelanggan Maxis Bhd masih belum dapat mengakses perkhidmatan 5G buat masa ini sementara menunggu kelulusan daripada para pemegang saham untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G yang dijangka akan berlangsung sekitar Januari 2023.

Peningkatan besar dalam trafik data dan kadar penggunaan telefon pintar serasi 5G

Trafik pada rangkaian 5G Malaysia kini semakin meningkat, dengan 56,000 pengguna serentak menggunakan kapasiti 146 Terabait (TB) pada 30 November 2022, atau bersamaan dengan 77,500 jam bagi filem berdefinisi tinggi. 

Rangkaian ini mempunyai purata kelajuan muat turun 394 Mbps berbanding purata kelajuan muat turun 4G iaitu 35 Mbps. Di samping itu, peranti serasi 5G juga turut berkembang pesat dalam pasaran, dengan kira-kira 7 juta peranti sudah menjadi milik pengguna setakat ini. Pertumbuhan ini diramalkan akan berganda pada tahun 2023 dan menjangkau 40 juta peranti menjelang 2030.

12 jenama peranti kini menawarkan lebih daripada 100 peranti serasi 5G kepada pengguna dalam pasaran Malaysia, dari model-model utama sehinggalah model yang lebih menjimatkan. Penawaran tersebut, ditambah pula dengan pelan data 5G runcit daripada lima MNO yang terlibat, sudah tentu akan mempercepatkan lagi penggunaan pengguna dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

Walau bagaimanapun, pengguna iPhone masih perlu menunggu pihak Apple memulakan pelan runcit dengan rakan MNO mereka sebelum ditawarkan perkhidmatan 5G.

5G memacu perubahan dalam perusahaan

Perusahaan akan menjadi penerima manfaat utama bagi 5G. Ia merupakan pendorong ekonomi utama yang bakal menjadi pemangkin kepada pelbagai aplikasi pengguna, perindustrian dan perusahaan baharu sejajar dengan harapan Kerajaan untuk negara dalam jangka panjang. 

Kesan 5G terhadap produktiviti, kecekapan dan inovasi diunjurkan akan menghasilkan peningkatan KDNK terkumpul kira-kira RM650 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan bernilai tinggi dari sekarang sehingga tahun 2030.

Sementara itu, perkhidmatan digital yang didayakan 5G akan mewujudkan pelbagai peluang baharu merentasi berbilang industri di Malaysia, termasuk tenaga, pembuatan, peruncitan, pembinaan, penjagaan kesihatan, logistik, pertanian dan sebagainya. DNB telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri bersama-sama pihak MNO, dalam melaksanakan penyelesaian rangkaian persendirian 5G sebagai cara untuk menyampaikan kes penggunaan (use case) dan perkhidmatan berdaya 5G ini. Antara contoh sesi yang diadakan termasuklah dengan Intel dan Petronas selain entiti-entiti lain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Malah, menurut Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan, ekonomi Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan pesat menjelang 2030 berikutan pelaksanaan 5G. 5G dianggarkan bakal menyumbang RM8.538 bilion kepada KDNK Malaysia pada 2025, dengan senario pertumbuhan tahunan sebanyak 8%.  

Mengenai Digital Nasional Berhad (DNB)

Digital Nasional Berhad (DNB) adalah anak syarikat Menteri Kewangan Inc, yang telah diberi mandat untuk untuk membangun dan melancar rangkaian dan infrastruktur 5G Malaysia pada jadual yang dipercepatkan.  DNB akan memiliki, membina dan mengurus rangkaian 5G secara eksklusif, serta menyediakan perkhidmatan 5G secara borong kepada penyedia perkhidmatan berlesen.  Ia juga menyediakan perkhidmatan infrastruktur dan teknologi untuk menyokong dan meningkatkan perniagaan dan keupayaan kerajaan. DNB dilesenkan sebagai pengendali telekomunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sila layari www.digital-nasional.com.my untuk maklumat lanjut. 

Most Popular

To Top