News

Ekonomi Malaysia Bakal Atasi Singapura Menjelang 2027

Malaysia diramalkan akan kembali mengatasi saiz ekonomi Singapura pada tahun 2027 selepas dipintas oleh republik itu pada 2015, demikian menurut laporan Jadual Liga Ekonomi Dunia (WELT) 2023.

Menurut laporan dihasilkan oleh peramal ekonomi antarabangsa yang berpangkalan di London, Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR), persaingan membabitkan dua negara tetangga Singapura dan Malaysia berkemungkinan akan berterusan.

“Ekonomi Singapura mengatasi ekonomi Malaysia pada 2015. Kami mengunjurkan yang Malaysia akan mengatasi Singapura sekali lagi pada 2027, didorong oleh gabungan demografi dan asas ekonominya yang lebih luas.

“Dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia dijangka meningkat secara beransur-ansur dalam jadual ini daripada kedudukan ke-41 pada tahun 2022 kepada tempat ke-35 pada tahun 2037.

“Malah Malaysia, yang kini ketinggalan enam tempat di belakang Singapura dalam jadual ini, diramalkan akan berpindah ke empat tempat di atas Singapura menjelang tempoh akhir ramalan ini pada 2037,” katanya dalam laporan WELT yang diterbitkan, baru-baru ini.

WELT 2023 mendapati saiz ekonomi Malaysia pada tahun ini adalah AS$382 bilion (RM1.68 trilion).

Dalam sedekad akan datang, CEBR mengunjurkan ekonomi negara ini akan berkembang pada purata kadar tahunan 3.5 peratus.

Ini membolehkan saiz ekonomi Malaysia berkembang sehingga AS$567 bilion (RM2.5 trilion) pada 2027 dan AS$967 bilion (RM4.2 trilion) pada 2037.

Saiz ekonomi Singapura yang pada tahun ini bernilai AS$421 bilion (RM1.8 trilion) pula diunjurkan berkembang kepada AS$565 bilion (RM2.4 trilion) pada 2027 dan AS$869 bilion (RM3.8 trilion) pada 2037.

Edisi terkini WELT 2023 adalah laporan tinjauan ekonomi dunia tahunan ke-14 CEBR.

WELT menjejaki saiz ekonomi yang berbeza di seluruh dunia dan mengunjurkan perubahan dalam tempoh 15 tahun akan datang, sehingga 2037.

Di peringkat serantau, Malaysia bagaimanapun dijangka diatasi oleh kebanyakan negara jiran yang lain dengan laporan itu turut menyebut Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia, dijangka bergerak daripada ekonomi ke-17 terbesar di dunia pada 2022 menjadi ekonomi ke-11 terbesar menjelang 2037.

Vietnam pula meningkat daripada tempat ke-39 pada tahun 2022 kepada tempat ke-26 pada tahun 2037, manakala Thailand dari ke-31 bergerak ke-25 dan Filipina dari tempat ke-38 naik kepada 27.

Di peringkat Asia pula, India kini secara jelas dalam perjalanan untuk menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia.

Angka yang disemak kini menunjukkan bahawa India mengatasi United Kingdom (UK) untuk menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia pada 2021.

Ia diunjurkan akan memintas Jerman untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia pada 2026 dan untuk memintas Jepun untuk menjadi ekonomi ketiga terbesar di dunia pada tahun 2032.

Menjelang 2035, India diramalkan untuk menjadi ekonomi AS$10 trilion dolar ketiga di dunia.

Sementara itu, laporan berkenaan mendapati ekonomi negara-negara Eropah dijangka tidak banyak berubah.

Sejak beberapa tahun lalu, CEBR mengunjurkan UK akan berkembang lebih pesat berbanding kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) lain di sebalik kekurangan yang tercetus daripada Brexit.

Bagaimanapun, tinjauan cukai yang tinggi di UK bermakna pertumbuhannya mungkin tidak dapat mengatasi kebanyakan ekonomi utama Eropah yang lain, kecuali di atas sebab demografi.

Ekonomi Russia, kesembilan terbesar di dunia tahun ini dijangka merosot ke tempat ke-14 menjelang 2037 susulan pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas negara itu akibat pencerobohannya ke atas Ukraine.

Source : Berita Harian

Most Popular

To Top