News

Rais Hussin Gagal Memahami Bagaimana Perlaksanaan SWN 5G Oleh DNB Berfungsi

PERUNDING TELEKOMUNIKASI UK DAKWA BADAN PEMIKIR RAIS HUSIN GAGAL MEMAHAMI BAGAIMANA PERLAKSANAAN SWN 5G OLEH DNB BERFUNGSI

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Sebuah Syarikat Pakar Perundingan Telekomunikasi yang berpangkalan di UK telah mempertikaikan kandungan penulisan terbaru Rais Hussin daripada Emir Research mengenai perlaksanaan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) 5G oleh DNB, di mana Rais mencadangkan pembahagian semula spektrum 5G untuk dilesenkan kepada enam syarikat pengendali mudah alih.

Dalam maklum balasnya, perunding Plum Consulting London LLP Grant Forsyth, David Lewin dan Profesor William Webb menyangkal andaian Rais bahawa SWN melibatkan perkongsian rangkaian capaian radio (RAN) yang aktif.

“Emir Research salah faham bagaimana SWN berfungsi. Setiap pengendali mudah alih akan terus berinovasi dalam rangkaian teras mereka daripada segi perkhidmatan yang ditawarkan, sambil membeli akses 5G pada harga jauh di bawah kos akses 4G.

“Memang tidak akan ada inovasi dalam pembekalan infrastruktur RAN 5G kerana tiada persaingan infrastruktur dalam komponen rangkaian ini.

“Tetapi inovasi ini ditentukan sebahagian besarnya oleh badan piawaian yang berkaitan dan kemudian dilaksanakan oleh vendor rangkaian global,” kata mereka dalam laporan itu.

Firma perunding itu kemudiannya menyangkal dakwaan Rais bahawa tidak akan ada pengurangan harga akibat pemilihan model SWN dan bukannya menggunakan beberapa rangkaian akses 5G, tetapi sebenarnya akan menjadikannya empat hingga lima kali ganda lebih mahal.

“Melancarkan enam rangkaian 5G — satu untuk setiap pengendali mudah alih — memerlukan enam kali lebih banyak stesen pangkalan 5G.

“Kos unit bagi setiap stesen pangkalan mungkin lebih rendah sedikit di bawah pilihan enam rangkaian. Tetapi kami menganggarkan bahawa kos keseluruhan sepuluh tahun pemilikan rangkaian 5G di bawah pilihan ini akan menjadi empat hingga lima kali ganda lebih besar daripada di bawah SWN.

“Ini bermakna harga pengguna akhir di bawah SWN dijangka sekitar 60 peratus lebih rendah berbanding dengan penggunaan enam rangkaian 5G,” kata mereka.

Firma itu menganggarkan bahawa Digital Nasional Bhd (DNB) memerlukan lebih 10,000 tapak sel untuk menyediakan 90 peratus liputan populasi menjelang 2027.

Mereka menyatakan bahawa DNB mendahului jadualnya dalam memenuhi sasaran pelancaran utamanya sebanyak 80 peratus liputan penduduk menjelang akhir 2024.

Mereka berkata DNB kini telah mencapai liputan 40 peratus setahun selepas memulakan rangkaian, penempatan dan mempunyai dua tahun lagi untuk menyelesaikan baki 40 peratus.

Oleh sebab itu, perubahan daripada model SWN kepada berbilang rangkaian akses 5G boleh menyebabkan kelewatan yang ketara.

Bertentangan dengan dakwaan Emir, Plum Consulting berkata kerajaan Malaysia hanya dijangka menyumbang sebahagian kecil daripada dana yang diperlukan DNB menjelang 2025.

“Terdapat kos permulaan sekitar RM800 juta dalam kos korporat RM4 bilion. Tetapi apabila kos permulaan ini dikecualikan, kos korporat DNB adalah sejajar dengan pengendali mudah alih Malaysia yang lain,” kata mereka.

Menjawab cadangan Emir bahawa DNB harus menjadi entiti neutral dan fokus dalam mengembangkan rangkaian pasif, Plum Consulting mengambil pendirian bahawa selaku pengendali telekomunikasi berlesen, DNB akan tertakluk kepada penelitian rapi dan kawal selia menyeluruh oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“MCMC akan memantau kemajuan DNB berbanding perancangannya dan mengawal selia cara mereka membekalkan perkhidmatan 5G borong kepada pemegang lesen daripada segi syarat pembekalan harga dan bukan harga“.

“Kualiti operasi DNB akan tertakluk kepada pemantauan minit ke minit dan transaksi demi transaksi, oleh pengendali mudah alih yang masing-masing berminat untuk memastikan jaminan kualiti perkhidmatan yang dijanjikan oleh DNB,” kata firma perunding itu.

Mereka menganggarkan bahawa dalam beberapa tahun lagi, DNB akan dibiayai melalui gabungan pemegang bon swasta, pengendali mudah alih dan kerajaan — dengan kerajaan memegang kepentingan minoriti yang sederhana.

Pada 5 Disember 2022 yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pentadbirannya akan mengkaji semula pelan perlaksanan 5G Malaysia, dengan penekanan pada ketelusan.

Most Popular

To Top