News

Ismail Sabri Sebagai Perdana Imam : Saf Keluarga Yang Dirapatkan Semula

Saya menulis ini dalam detik menanti kegembiraan dapat menunaikan solat terawih secara berjemaah dalam keadaan teratur dan bersama. Kehilangan salah satu nikmat berpuasa selama 2 tahun yang lalu benar-benar membekas dan memberikan saya dan ramai lagi semangat untuk lebih memaknakan Ramadan kali ini.

Ibu-ibu, ayah-ayah, pak cik dan mak cik, semuanya dalam keadaan berpusu mencari parkir untuk memastikan mereka tidak terlepas mengisi saf jemaah kali ini. Masjid menjadi meriah dan sesak semula. Berjalan jauh pun kami sanggup.

Nabi Muhammad SAW sangat tegas dan menitikberatkan berkenaan saf solat. Sebelum takbir dilaung, para sahabat dan imam akan memastikan saf rapat, lurus dan kemas. Pembinaan saf ini sarat dengan pengajaran dan ibrah buat kita dalam bermasyarakat.

Dari segi sosiologi, saf yang rapat adalah lambangan kepada masyarakat yang ramah, bersatu dan kenal antara satu sama lain. Saf yang lurus pula adalah simbol disiplin yang ditujangi Islam. Sudah tentu saf yang rapat dan lurus adalah tidak bermakna tanpa Imam yang mampu mengetuai dan mengemudi ibadah dengan baik dan tertib.

Ketibaan Ramadan kali ini dinantikan begitu lama sekali semenjak YAB DS Ismail Sabri mengumumkan bahawa saf jemaah ini sudah boleh dirapatkan. Walaupun keizinan ini mungkin kecil, tetapi impak kepada beribadah sangat besar. Tiada lagi jarak pemisah antara jemaah.

Jemaah Malaysia pula kalau dah konsep bernegara adalah hidup dalam Keluarga Malaysia. Keluarga Malaysia adalah saf yang memerlukan kelurusan, keakraban dan diramahkan semula setelah puluhan purnama saf keluarga ini menjadi bocor, compang camping dan terpisah-pisah. Imam juga silih berganti.

Saya suka melihat Ismail Sabri sebagai Perdana Imam yang kini menggalas tugas memimpin saf Keluarga Malaysia. Petanda imam yang bagus adalah dia tidak meminta menjadi imam, tetapi diberikan kepercayaan oleh orang ramai. Lebih bagus lagi apabila Ismail Sabri dipilih sebagi imam di saat Malaysia dilanda keserabutan dan ketidaktentuan politik dan ekonomi.

Saya bukanlah ingin terlalu memuja Ismail Sabri. Beliau tentu ada kurangnya dan memerlukan lebih masa untuk bertambah baik. Tetapi itulah hakikat beribadah. Kesempurnaan dicari tetapi usaha itu yang dinilai Yang Maha Esa. Memimpin jemaah solat dan memimpin negara, dua-dua adalah ibadah kepadaNya.

Azan telah dilaungkan, masa untuk saf dibina semula dan dirapatkan. Imam sebagai panduan kita dalam masyarakat. Semoga kita mensyukuri nikmat saf yang rapat, kemas dan stabil ini semula.

Salam Ramadan semua.

Ts Mohamed Zul Fadhli Khairuddin 

Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Mahasiswa, UniKL

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Most Popular

To Top