News

Isu DNB : Telco Bertepuk Sebelah Tangan

Selepas kata akhir dikeluarkan Kabinet Malaysia melalui Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) pada 16 Mac 2022, syarikat telekomunikasi di Malaysia kelihatan acuh tidak acuh untuk menyahut seruan kerajaan untuk pembangunan rangkaian dan infrastruktur 5G.

Beberapa proksi Syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) juga mengeluarkan kenyataan keras terhadap usul kerajaan bahawa ia hanyalah perhiasan jendela (window dressing) yang tidak menguntungkan MNO. Harus diingatkan bahawa agenda utama pembangunan teknologi 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson bukanlah telaga minyak yang diteroka untuk mengayakan mana-mana perniagaan.

Tujuan utama agenda kerajaan adalah untuk memperkasakan fasiliti dan capaian internet di seluruh negara sekaligus merapatkan jurang digital sedia ada di negara ini yang telah diabaikan MNO.

Model Kerjasama Awam-Swasta

Sekalipun kita berbicara soal keuntungan, MoF telah berlapang dada sehingga melepaskan pemilikan ke atas DNB kepada MNO sehingga paras 70 peratus, melebihi takat separuh pemilikan ke atas syarikat pengendali Rangkaian Borong Tunggal (SWN) tersebut. Bermaksud, dalam tempoh tiga tahun ekuiti dilepaskan kepada MNO, mereka akan memiliki suara majoriti dalam sebarang penggubalan dasar perniagaan dan pengagihan keuntungan dari projek 5G. Apakah ini tidak menguntungkan syarikat telekomunikasi? Muslihat apa lagi yang mahu dimainkan MNO untuk membolot keseluruhan projek bagi tempoh tiga tahun pertama pelaksanaan 5G?

Tawaran Rujukan Tawaran oleh DNB

Pada 31 Mac 2022, DNB telah mengeluarkan Rujukan Tawaran (Reference Access Offer) setebal 108 mukasurat untuk mengaturcara kerjasama pembelian spektrum terhadap MNO. Begitu keras tentangan MNO kepada susunan kerajaan, sebelum RAO ini dikeluarkan pun mereka sudah mengemukakan penolakan terhadap dasar kerjasama awam-swasta tersebut. Dalam prinsip asas perkhidmatan RAO tersebut, tiga kelebihan utama telah ditawarkan kepada pembelian spektrum MNO. Pertama, DNB menerima sebarang penerimaan dan penolakan sekiranya ia munasabah bagi kedua-dua pihak. Kedua, tiada diskriminasi kepada pembelian spektrum.

Sekiranya kualiti penjualan internet yang ditawarkan oleh DNB sendiri berada pada Gred A, gred yang sama akan diagihkan kepada MNO supaya tiada pihak yang terjejas. Ketiga, DNB juga tidak membuat pengehadan atau kekangan kepada penjualan semula internet kepada pihak lain. Bermaksud, agihan internet masih boleh berlaku di antara syarikat telekomunikasi yang mempunyai kekuatan kewangan berbanding syarikat lain. Ruang perniagaan tetap dibuka kepada semua syarikat telekomunikasi tanpa sebarang diskriminasi.

Tuduhan kepada Kualiti Internet DNB

Susulan penerbitan RAO oleh DNB hujung bulan lalu, terdapat tuduhan tidak munasabah berkitar di ruang maya. MNO beranggapan bahawa DNB akan merencatkan kualiti perkhidmatan mereka kerana kualiti produk yang dibangunkan DNB mungkin tidak setara dengan tahap perkhidmatan mereka selama ini. Dakwaan ini adalah sangat tidak berasas disebabkan beberapa perkara. Pertama, Rangkaian Akses 5G DNB telah direka untuk menyediakan Malaysia dengan teknologi terkini dan tercanggih dalam akses radio.

Kelebihan utama Rangkaian Akses 5G DNB adalah kelajuan yang lebih besar dalam penghantaran, kependaman yang lebih rendah dan oleh itu kapasiti dan kebolehpercayaan pelaksanaan jauh yang lebih besar, keupayaan untuk mengendalikan lebih banyak peranti yang disambungkan dan keupayaan untuk melaksanakan rangkaian maya, menyediakan sambungan yang relevan dan diperlukan kepada keperluan khusus individu dan perniagaan.

Kedua, mana mungkin Telekom Malaysia (TM) dan YES YTL boleh bersetuju untuk bekerjasama dengan DNB sekiranya kualiti yang ditawarkan seperti yang didakwa MNO? Malah, banyak vendor tempatan dan syarikat bumiputera juga sudah mematerai perjanjian dan pelaburan bersama DNB untuk membangunkan menara telekomunikasi serta kontrak infrastruktur yang lain di bawah jaminan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ketiga, kelajuan dan akses capaian pembangunan 5G ini memang jauh lebih baik dari mana-mana teknologi terkini 4G. Kualiti perkhidmatan bukan pemberat sebenar seperti yang diwayangkan MNO. Agenda keuntungan kapitalis dan percaturan politik di belakang tabir yang melengahkan urusan kebajikan dan hak asasi internet masyarakat ini akan merugikan banyak pihak, apatah lagi hasrat negara untuk berlumba mengupayakan digitalisasi masyarakat.

MNO ibarat mengata dulang paku serpih. Selama ini piawai perkhidmatan mereka juga sebenarnya meragukan sehingga kerajaan terpaksa campur tangan dalam urusan kewangan melibatkan suntikan dana dan pembangunan telekomunikasi terpaksa dirincikan ke dalam Rancangan Ekonomi Malaysia seperti RMK-12. Projek mega seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) terpaksa dilaburkan kerajaan sehingga memakan perbelanjaan berbilion ringgit semata-mata mahu menutup kegagalan MNO membangunkan akses dan perkhimatan 4G sebelum ini. Dalam kekeruhan sedemikian, bagaimana MNO boleh menjadi pihak yang layak untuk menghukum DNB akan melakukan hal yang sama tatkala mereka tidak diberi peluang?

Berhenti Menunjukkan Belang Ketamakan

Setelah mereka gagal kali pertama untuk memberikan konstruk yang jelas kepada pembangunan 5G negara, MoF tampil denegan rundingan terbuka dan memilih DNB-Ericsson sebagai pemaju yang mempunyai kredibiliti. Selepas tentangan kepada SWN, MNO sekali lagi gagal membentangkan apakah struktur DWN mereka adalah lebih baik dari SWN semasa.

Kali ini, selepas keuntungan dicurahkan kepada mereka melalui pemilikan ekuiti syarikat pemaju pun, MNO masih berdolak-dalih mencari jalan keluar untuk mengingkari amanat kerajaan dan rakyat. Pembangunan 5G tidak boleh ditangguhkan lagi. Hari ini, sekiranya pembangunan digital kita lembab dan dimalukan pada peringkat antarabangsa, masyarakat perlu ingat bahawa ini berlaku akibat tindakan MNO yang mengelirukan diri sendiri dan masyarakat, bukan Kerajaan Malaysia yang telah lama bersedia.

Azzairi Rosle
Pengarah Strategik Malaysian House of Internet Sdn Bhd

1 Comment

1 Comment

  1. Zbttoptof

    April 17, 2022 at 6:11 pm

    ivermectin australia 2021 liquid ivermectin

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Most Popular

To Top