News

Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya : Transformasi Perundangan Malaysia

JUBLI EMAS FAKULTI UNDANG-UNDANG UNIVERSITI MALAYA : TRANSFORMASI PERUNDANGAN MALAYSIA

Pada 17.6.2022, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya dengan kerjasama Persatuan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM) telah menganjurkan perayaan 50 Tahun Jubli Emas Fakulti Undang-Undang UM.

Dengan tema Sirih Pulang ke Gagang, perayaan tersebut telah menghimpunkan alumni dari segenap pelusuk tanah air, dari yang berkhidmat di dalam kerajaan sehinggalah pengamal undang-undang, semuanya hadir bagi menyaksikan peristiwa bersejarah ni yang telah disempurnakan oleh YAB Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia juga alumni Fakulti Undang-undang UM dari kohort ke-9.

Majlis ini juga telah dihadiri oleh Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat yang juga merupakan alumni fakulti undang-undang serta barisan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Sambutan 50 Tahun Jubli Emas ini ternyata membawa pengertian yang amat besar kepada para alumni bagi mengenang jasa sekolah undang-undang terulung di Malaysia yang telah berjaya melahirkan graduan-graduan yang berkualiti yang telah mencorakkan lanskap undang-undang di Malaysia. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa alumni fakulti undang-undang sedang ‘menerajui’ Malaysia apabila kini mengepalai 3 tiang seri utama negara; Eksekutif diketuai oleh YAB PM, Parlimen diketuai oleh Tan Sri Azhar Harun sebagai Yang Di-Pertua Speaker Dewan Rakyat dan Kehakiman dipimpin oleh YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat. Kini, Fakulti Undang-undang Universiti Malaya telah berjaya melahirkan kira-kita 6900 graduan yang memenuhi setiap sektor-sektor penting dalam negara.

Jutaan penghargaan kepada YAB Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang telah memberikan suntikan semangat kepada kami dengan pengumuman dana sebanyak RM1 juta bagi penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim yang akan membantu pihak PARFUM merealisasikan klinik bantuan guaman bagi membantu Keluarga Malaysia yang tidak berkemampuan selari dengan hasrat Kerajaan yang mahukan akses kepada keadilan untuk semua

Hakikatnya, penubuhan Yayasan ini adalah merupakan sebuah visi masa hadapan PARFUM untuk memastikan undang-undang dapat dirakyatkan, bukan sahaja perihal undang-undang yang memelihara hak setiap insan, tetapi juga akses kepada mendapatkan khidmat guaman itu sendiri. Sebagai sebuah persatuan yang dilimpahi golongan yang pakar dalam perundangan, Yayasan ini juga merupakan sebuah manifestasi Keluarga Malaysia dalam usaha Kerajaan memastikan setiap rakyat di negara ini dijaga dan dibela.

Selain itu, tema Transformasi Undang-Undang yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri sememangnya sangat tepat pada masanya. Menerusi ucapan beliau, sebanyak 147 undang-undang lapuk akan dikaji semula bagi memastikan ia terus memenuhi keperluan dan kepentingan semasa. Secara peribadi, kecaknaan YAB Perdana Menteri untuk mentransformasikan perundangan negara adalah berita gembira buat para pengamal perundangan di Malaysia – melihatkan pebagai isu kontemporari yang berlaku sekarang ini – yang menuntut kepada sebuah kerangka perundangan segar dan moden. Inilah bukti bahawa Malaysia semakin progresif dan PARFUM akan sentiasa bersedia bagi membantu usaha menjadikan perundangan Malaysia yang lebih baik

Bagi saya, segala insentif-insentif yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri adalah merupakan satu langkah besar dalam membina sebuah halatuju Malaysia bagi 50 hingga 100 tahun yang akan datang. Jika kita amati semula sejarah-sejarah ketamadunan, semuanya mempunyai sebuah set sistem perundangan yang dijadikan sebagai asas dalam membina sebuah negara bangsa. Lebih-lebih lagi, falsafah “Keluarga” yang diterapkan oleh YAB Perdana Menteri, memberikan mesej jelas bahawa, jatuh bangun sesebuah negara adalah bergantung kepada insitutsi kekeluargaan dalam sesebuah masyarakat. Ini membuktikan yang “undang-undang” adalah semudah sebuah arahan/didikan dari ibubapa kepada anak-anaknya.

Selaku Ahli Majlis PARFUM, saya mengucapkan tahniah kepada Presiden PARFUM, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang telah menginspirasikan idea perayaan 50 Tahun Jubli Emas ini bagi membawa kembali para alumni yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke kampus Universiti Malaya. Inilah sebuah perayaan yang amat dinanti-nantikan oleh kami dan benar-benar memaknakan sebuah kecintaan.

Akhirnya, saya menyeru alumni-alumni untuk mendaftar sebagai ahli PARFUM bagi mengembangkan lagi keluarga PARFUM dan bersama-sama menyumbang kembali kepada sekolah undang-undang ulung serta menabur bakti kepada masyarakat termasuk ahli PARFUM yang memerlukan.

Celebrating the Past, Inspiring the Future.

Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof
Kohort ke-39

Rakan Kongsi di Tetuan Arief & Iskandar

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Most Popular

To Top