News

Rafizi Ramli : Kajian Menunjukkan Ismail Sabri Merupakan Pilihan Rakyat Untuk Menjadi Perdana Menteri Malaysia Dengan Undian Tertinggi

Lima daripada enam calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) jelas ditolak bulat-bulat oleh pengundi.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan kepada satu kajian terhadap 2,500 responden yang dikendalikannya – 60 peratus responden menolak nama-nama besar tokoh politik itu.

“Jawapan sepatutnya Datuk Seri Najib, Tun Mahathir, Muhyiddin perlu diperhalusi kerana 60 peratus daripada pengundi menyatakan mereka tidak minat mana-mana calon ini,” katanya dalam temubual khas SkopMG berjudul Saya Kembali Demi Rakyat semalam.

Kajian secara bulanan itu menamakan tiga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri merupakan individu paling tinggi menerima undian iaitu sebanyak 21 peratus.

Katanya, kajian ini jelas menunjukkan bahawa pengundi mahu pembaharuan di dalam kepimpinan negara.

“Yang terbaharu untuk Februari di mana Ismail Sabri 21 peratus sahaja tapi 60 peratus itu menyatakan semua calon itu mereka tolak termasuk Anwar Ibrahim.

“Yang paling tinggi mereka tolak semua calon dan mahu nama lain, semua nama yang diberikan 10 peratus tapi Najib empat peratus sahaja walaupun dia perasan dia popular.

“Bagi saya ini bukan mengenai parti tapi lebih kepada harapan pengundi biasa,” katanya lagi.

Justeru itu, Rafizi menjelaskan, proses peralihan generasi kepimpinan politik negara akan mengambil masa yang panjang kerana Malaysia mewarisi sistem pentadbiran satu parti lebih 60 tahun lalu.

“Corak dan juga proses menjadi Perdana Menteri itu telah lama dipengaruhi UMNO untuk kita mengubah masyarakat secara tiba-tiba mengambil masa.

“Saya rasa tidak sampai tempoh 30 tahun sebab negara lain sudah berlaku,” katanya lagi

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Most Popular

To Top