News

Pemilihan Majlis Belia Malaysia Tidak Sah ?

Pemilihan Majlis Belia Malaysia Kali Ke-71 Adalah Defektif

Pada 6.3.2022, suatu Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (“MPAT MBM”) kali ke-71 telah diadakan di mana antara lain bertujuan untuk mengundi dan melantik jawatankuasa baru MPAT MBM (“Pemilihan MBM”).

Saya secara terbuka ingin memaklumkan kepada rakan-rakan media dan pihak umum bahawa terdapat satu kepercayaan yang munasabah bahawa Pemilihan MBM tersebut telah berlangsung secara defektif dan tidak selari dengan Perlembagaan MBM.

Saya ingin menyatakan bahawa MBM adalah sebuah badan gabungan pertubuhan belia kebangsaan. Gabungan ini adalah terdiri daripada pertubuhan belia kebangsaan yang diterima sebagai Ahli Majlis MBM menurut Fasal VI(1)(b) Perlembagaan MBM, Majlis Belia Negeri serta ahli-ahli bersekutu yang terdiri daripada badan-badan belia kebangsaan selain Pertubuhan Belia Kebangsaan yang telah berdaftar dan berkanun.

Saya ingin menarik perhatian semua bahawa menurut Fasal VII(7) Perlembagaan MBM, badan-badan gabungan yang tidak membayar yuran SERTA ahli-ahli bersekutu TIDAK DIBENARKAN dan TIDAK BERHAK untuk membuang undi dalam Pemilihan MBM.

Namun begitu, apa yang terjadi ketika Pemilihan MBM tersebut, saya percaya bahawa terdapat perwakilan-perwakilan yang merupakan ahli-ahli bersekutu yang telah membuang undi bagi memilih MPAT MBM yang baru. Sudah tentu perkara ini adalah suatu perlanggaran yang jelas ke atas Fasal VI(2) Perlembagaan MBM (“Perlanggaran Perlembagaan MBM”).

Perlanggaran Perlembagaan MBM ini sudah tentu menjadikan Pemilihan MBM sebagai defektif dan tidak sah. Sekiranya perkara ini tidak diperbetulkan, saya percaya MPAT MBM baru yang telah dipilih tidak mempunyai punca kuasa yang sah untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Sebagai ahli MBM yang mahukan perkara ini diperbetulkan, saya telah melantik peguam untuk memastikan tindakan perundangan yang sewajarnya telah diambil. Saya telahpun mengarahkan peguam saya untuk menulis surat bertarikh 10.3.2022 kepada Pendaftar Pertubuhan Belia (“ROY”) untuk mengadukan berkenaan Perlanggaran Perlembagaan MBM tersebut dan menuntut ROY untuk mengesahkan status Pemilihan MBM tersebut.

Namun begitu, pada 16.3.2022, saya telah dimaklumkan oleh pihak ROY bahawa ROY masih menanti Maklumat Kena Diberi (“MYKD”) daripada pihak MBM yang perlu diserahkan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh mesyuarat agung tahunannya.

Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk menulis surat kepada Presiden Majlis Belia Perak pada 23.3.2022 di mana saya juga telah menuntut beberapa penjelasan daripada beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Tauliah MPAT MBM Kali Ke-71 (“Pengerusi Tauliah”) tersebut. Tuntutan-tuntutan saya adalah –
(a) penjelasan samada Pengerusi Tauliah tersebut telah mentauliahkan ahli dan perwakilan yang berhak mengundi di dalam MPAT MBM mengikut Perlembagaan MBM;


(b) penjelasan samada Pengerusi Tauliah telah membenarkan badan-badan beruniform yang bukan merupakan Badan Gabungan MBM untuk membuang undi semasa Pemilihan MBM; dan


(c) sekiranya (b) di atas adalah dibenarkan, penjelasan berkenaan dengan peruntukkan Perlembagaan manakah yang digunakan oleh Pengerusi Tauliah untuk melaksanakan perkara sedemikian.

Saya juga telah memaklumkan kepada ROY melalui peguam saya pada 14.4.2022 bahawa Pengerusi Tauliah tersebut telahpun mengakui bahawa terdapat kesilapan di mana perwakilan badan-badan beruniform telahpun dibenarkan membuang undi pada Pemilihan MBM tersebut WALAUPUN perkara tersebut tidak dibenarkan oleh Perlembagaan MBM.

Sehubungan dengan itu saya telah meminta pihak ROY untuk menjalankan kuasa di bawah Seksyen 5 serta Seksyen 103(b) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 untuk menjalankan siasatan penuh ke atas Pemilihan MBM yang ternyata telah melanggar Perlembagaan MBM. Saya juga telah menggesa ROY untuk menghalang MBM daripada menjalankan apa-apa kegiatan dan apa-apa urusan kewangan sehingga siasatan ini selesai.

Namun begitu, pihak ROY telah pada 28.4.2022 menyatakan bahawa mereka masih menuntut MBM untuk memberikan MYKD tanpa sebarang arahan jelas berkenaan tindakan selanjutnya daripada ROY.

Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa tempoh 60 hari untuk pihak MBM menyerahkan MYKD kepada ROY telahpun tamat pada 6.5.2022 yang lalu. Namun begitu, sehingga hari ini pihak ROY masih belum lagi mengambil apa-apa tindakan berkenaan dengan Pemilihan MBM walaupun terdapat pengakuan yang jelas bahawa Perlembagaan MBM telahpun dilanggar.

Saya dengan ingin menuntut secara terbuka untuk pihak ROY menjalankan siasatan penuh dengan segera dan memastikan MBM digantung daripada menjalankan apa-apa kuasa selagi mana siasatan tersebut masih belum diselesaikan.

Sekiranya ROY memilih untuk berdiam diri selepas kenyataan ini dibuat, saya ingin menuntut agar pemilihan baru dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh kenyataan saya ini.

Sekian terima kasih.

Ahmad Nazrin Bin Abdul Aziz
Timbalan Yang Dipertua 1
Majlis Belia Negeri Perlis

Source : Facebook

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Most Popular

To Top