News

Senator Jaziri Alkaf A. Suffian : 10,000 Peserta Persidangan M4M – Keperluan Menguasai Kemahiran Abad ke-21

Kenyataan media Pengerusi Minds for Malaysia (M4M) YB Senator Jaziri Alkaf A. Suffian

Dijangka lebih 10,000 peserta persidangan M4M – Keperluan menguasai kemahiran abad ke-21

KUALA LUMPUR, 24 Sept 202q – Satu program mengkhusus kepada membina kesedaran dan mendidik pelajar dan belia mengenai keperluan menguasai kemahiran abad ke-21 (21st century skills) sebagai kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan dan membina ‘start-up’ sekali gus mampu menyediakan peluang pekerjaan bakal dianjurkan pada 9 Oktober depan.

Program bertajuk Minda Untuk Malaysia: Merapatkan Jurang Kemahiran (Minds For Malaysia (M4M): Bridging The Skills Gap) adalah satu persidangan yang berlangsung secara dalam talian dan turut melibatkan ahli panel terhormat yang terdiri daripada pakar industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan yang akan berkongsi pengalaman serta nasihat mengenai kemahiran insaniah yang sangat diperlukan bagi menjamin peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian.

Para panelis jemputan terdiri daripada pakar-pakar tempatan dan antarabangsa antaranya dari Jepun, New Zealand, Indonesia dan wakil daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Program tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik para pelajar, graduan dan belia mengenai kepentingan inovasi digital terutama dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia.

Penganjuran M4M ini turut mendapat pengiktirafan dari kerajaan Sabah apabila Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor bersetuju untuk menyertai program tersebut sebagai antara agenda untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik para pelajar, graduan dan belia mengenai kepentingan inovasi digital terutama dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia negeri itu.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor juga akan dijemput sebagai salah seorang pengucaptama dalam program itu.

Oleh itu usaha M4M yang akan berkolaborasi dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor serta Kerajaan Negeri Sabah dalam program ini adalah seiring dengan usaha untuk membantu mendidik akan kepentingan inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan belia di negeri Sabah khususnya.

Dalam pada itu, M4M juga akan turut menjalin usahasama bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang dipengerusikan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Yang Berhormat Datu Haji Len Talif Salleh.

Menurut Datu Len Talif, dengan kerjasama ini TEGAS sebagai sebuah “Charitable Trust” yang aktif di dalam bidang inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan belia di Sarawak akan mewakili kerajaan negeri untuk menjalin kerjasama dalam program tersebut sebagai agenda untuk mempromosikan inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan graduan dan belia Sarawak dan selain turut dijemput sebagai salah seorang ahli panel jemputan dalam program itu.

Oleh itu usaha M4M yang akan berkolaborasi dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan dan swasta dalam program ini adalah seiring dengan usaha untuk membantu mendidik kepentingan inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan belia di seluruh negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Oleh itu adalah diharapkan melalui penganjuran program ini, ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama golongan pelajar, graduan dan belia terutamanya dalam berhadapan cabaran mengenai keperluan menguasai kemahiran baharu serta kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian kelak.

Dijangka seramai lebih 10,000 peserta daripada Malaysia dan seluruh dunia akan mengikuti program tersebut.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top